MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

Skuasy masih sukar dapat penaja

AHMAD Shabery Cheek menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama program pembangunan Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA) dan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia antara Azlan Iskandar dengan Mohid Mohamed. Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu.

 

PUTRAJAYA - Walaupun Malaysia memiliki legenda yang telah merangkul tujuh gelaran, Datuk Nicol David, namun skuasy di negara ini masih berdepan kesukaran untuk mencari penaja bagi menganjurkan kejohanan atau program pembangunan, kata bekas jaguh skuasy negara, Mohd. Azlan Iskandar.

Menurut Azlan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) telah melaksanakan program melahirkan pemain dengan bagus, namun badan kebangsaan itu juga memerlukan sokongan daripada pihak persendirian bagi mencari lebih ramai bakat skuasy untuk diketengahkan ke peringkat dunia.

Sebab itu, beliau mengambil inisiatif untuk menubuhkan Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA) dua tahun lalu, namun disebabkan kesukaran untuk meyakinkan penaja maka hanya pada tahun ini program pencarian bakat yang menyeluruh dan kejohanan Sirkit Jelajah Malaysia dapat dilaksanakan.

"Memang susah hendak meyakinkan penaja supaya terlibat dalam program kami, skuasy masih tidak popular seperti badminton atau bola sepak di negara ini. Ramai yang anggap sukan ini dimainkan oleh golongan elit, hendak main kena jadi ahli kelab tertentu.

"Namun saya bernasib baik kerana semasa saya aktif sebagai pemain, saya ada penaja peribadi. Mereka ini tetap memberikan sokongan kepada saya walaupun saya sudah bersara, mereka yang bantu saya untuk menganjurkan kejohanan dan program," kata Azlan selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AISA dan Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.

Syarikat telekomunikasi gergasi, Maxis antara yang memberi sokongan padu kepada program AISA.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed dan pengasas AISA, Azlan, sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selari dengan MoU tersebut, Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia akan diadakan di seluruh negara mulai bulan depan dengan pertandingan akhir berlangsung di ibu negara pada Ogos.

Ahmad Shabery berkata, kerjasama AISA diperlukan untuk melengkapkan peranan SRAM bagi mengasah bakat-bakat baru dalam sukan tersebut.

"Kini kita berada di peringkat kemuncak dengan jaguh skuasy seperti Nicol, tetapi persoalannya siapa yang mampu menggantikan beliau selepas ini.

''Kita tidak boleh selesa dengan keadaan sedia ada, Persatuan Skuasy Malaysia adalah baik tetapi AISA boleh melengkapkan usaha yang sedang dijalankan," katanya.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  -  Source Utusan Malaysia..
25/01/2013
 
 
 
 

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction