MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

SPR kaji hukuman wakil rakyat letak jawatan tanpa sebab munasabah

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji keperluan dan cadangan meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pindaan itu bagi mengelakkan ‘penyakit’ meletak jawatan tanpa sebab ‘merebak’ kepada wakil rakyat lain, selain dilihat tidak bermoral.

“Perkara ini (meminda undang-undang) memang tidak terletak dalam bidang kuasa SPR, sebaliknya di tangan ahli politik. Bagaimana pun kita akan fikirkan sesuatu jika perbuatan ini berterusan,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Menurut undang-undang sedia ada, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri, seseorang wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Rakyat (persekutuan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (perlembagaan negeri), akan hilang kelayakan menjadi ahli dewan yang berkenaan selama lima tahun, bermula tarikh peletakan jawatannya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu susulan tindakan Lee Chin Chen mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 27 Januari lalu, bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Sehubungan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini dengan penamaan calon ditetapkan oleh SPR pada 11 Mac.

“Saya harap kes di Kajang akan menjadi ‘isolated case’ dan tidak menjadi budaya kepada yang lain. Jika penyakit ini merebak, memang perlu dilakukan sesuatu kerana letih kita untuk sentiasa mengadakan PRK selain ia menggunakan banyak kos.

“Kita tidak mahu wujud satu budaya orang letak jawatan hanya nak bagi ketuanya, adik, rakan atau teman wanita rasa menjadi wakil rakyat kerana ini penyalahgunaan proses demokrasi,” katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun mengakui bukan mudah meminda undang-undang kerana SPR tidak mempunyai bidang kuasa bagi berbuat demikian, namun berharap usul itu boleh dipertimbang oleh mana-mana wakil rakyat untuk dibawa ke Parlimen.

“Kita faham undang-undang memang tak halang nak letak jawatan. Wakil rakyat itu pun tak perlu beritahu alasan letak jawatan, hanya perlu tulis surat kepada speaker dan beritahu tarikh mahu letak jawatan. Tapi ini dari segi moral tidak betul,” katanya.

Beliau juga berpendapat PRK Kajang tidak sepatutnya berlaku kerana Lee menang dengan majoriti yang besar iaitu 6,824 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Malah saya dimaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk berkhidmat selama lima tahun, tapi sayangnya hanya lapan bulan beliau dah letak jawatan.

“SPR tidak akan terkilan jika beliau meletak jawatan atas sebab yang munasabah seperti mengalami masalah kesihatan atau ada masalah peribadi,” katanya, lapor Bernama.

Beliau menambah, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain, mana-mana wakil rakyat yang mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah akan ‘digantikan’ dengan calon kedua yang mendapat undian tertingggi ketika pilihan raya diadakan, namun perkara itu tidak diamalkan di negara ini.

Sumber : The Kualalumpur Post

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction