MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

'Pembangkang kena tahu SPR bukan Superman'

PUTRAJAYA - Di sebalik serangan pembangkang dan beberapa pihak yang terus mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai agensi yang gagal memastikan pilihan raya di negara ini berjalan dengan telus, lama-kelamaan ia umpama jerat yang memakan tuan.

Hal ini kerana menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, boleh dikatakan semua tuntutan pembangkang itu bersama-sama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sudah pun diperhalusi dan ia akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bahkan katanya, dakwaan bahawa daftar pemilih masih tersangat kotor adalah tidak benar dan mereka harus maklum, agensi itu bekerja keras dari semasa ke semasa untuk membersihkan daftar pemilih.

"Tetapi pembangkang kena tahu juga, SPR bukan Superman.

"Pembersihan daftar pemilih ini kita buat sepanjang masa. Macam-macam yang kita jumpa.

"Tetapi untuk mendapat daftar pemilih yang seratus peratus bersih adalah mustahil.Tidak ada. Kalau dapat berikan saya contoh di negara mana. Switzerland, Denmak, Finland, tak mungkin," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online.

Aziz turut diminta mengulas perkembangan terbaru berhubung satu perhimpunan besar-besaran yang akan dianjurkan Pakatan Rakyat pada 3 November ini.

"Saya berpendapat tunjuk perasaan tidak sedikit pun akan dapat memperbaiki proses pilihan raya.

"Perbincangan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen adalah yang terbaik dan sangat membantu," katanya.

Perhimpunan itu yang dipanggil Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan sebagai pembukaan kepada usaha terbaru parti itu dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, perhimpunan besar-besaran ini bertujuan untuk meneruskan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang telah dilupakan kerajaan dan daftar pemilih yang "masih terlau kotor".

"Saya ingat beginilah, kalau anda jumpa pembangkang ini, tanyakan pada mereka, kenapa tidak bahawa (kes-kes daftar pemilih yang meragukan) kepada SPR, lepas itu, (saya tahu) mereka akan katakan SPR tidak akan ambil tindakan.

"Tidak bolehlah kata begitu. Bawa data itu kepada kita," kata Aziz. 

"Pada saya mudah, kalau NGO atau parti-parti politik benar-benar ikhlas membantu SPR, kita alu-alukan," tambah beliau.

Lapan tuntutan Bersih sudah dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan sudah disyorkan kepada SPR.

Sebanyak 32 syor telah disarankan termasuk tuntutan Bersih 2.0 dalam laporan awal dan akhirnya, di mana hanya enam daripadanya sahaja ditolak.

Syor tersebut ialah pengundi luar kawasan, pertukaran kawasan pendaftar, pengundi tidak hadir luar negara, bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui, penggunaan alamat lain selain mastautin untuk daftar pemilih dan satu syor awal yang sudah dijelaskan dalam laporan awal iaitu mengundi luar kawasan yang tidak dapat dilaksanakan.

Sumber:Sinar Harian

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction