MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

BN tidak menang dengan menindas rakyat, kata bekas pemimpin Umno

Umno dan Barisan Nasional (BN) harus sedar lanskap politik sudah berubah dan penindasan tidak akan menyebabkan rakyat mengundi mereka, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketua pegawai eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global itu berkata, mendiamkan penentang mereka hanya melahirkan rasa tidak puas hati dan peralihan sokongan kepada pembangkang.

Saifuddin (gambar, kanan), yang pernah menjawat timbalan menteri pendidikan tinggi, memberitahu The Malaysian Insider, Umno dan BN harus faham perubahan zaman dan kemahuan sebenar rakyat.

“Rakyat mahu peranan mereka diiktiraf, mereka mahu suara dan pandangan mereka didengar, mereka mahu mempunyai suara dalam pembuatan keputusan negara,” kata bekas ahli Parlimen Temerloh dan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu.

Saifuddin mengulas pendedahan PKR 60 ketua bahagian Umno mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan tegas terhadap pengkritik.

Menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya, pertemuan itu berlaku pada 14 Ogos, di mana Umno didakwa mengarahkan polis dan pejabat pendakwaraya bertindak terhadap penentang kerajaan.

Latheefa berkata, tindakan buas Putrajaya menggunakan Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang menyusul selepas pertemuan itu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata mesyuarat seumpama itu tidak pernah diadakan ketika menyandang jawatan dalam MT Umno dan timbalan ketua bahagian.

“Kita hanya ada mesyuarat sekali-sekala dengan presiden parti Datuk Seri Najib Razak, tetapi untuk membincangkan pembangunan atau untuk meminta peruntukkan bagi membina sekolah dan jambatan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Saya tidak pernah mempunyai pengalaman berjumpa dengan pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Polis Negara atau Peguam Negara untuk memberikan arahan kepada mereka.

Saifuddin berkata, sekiranya benar pertemuan seperti itu berlaku, “sampai masa untuk bersedih” kerana lanskap politik sudah banyak berubah.

“Jumlah penindasan tidak akan membuatkan rakyat mengundi Umno/BN,” kata Saifuddin merujuk kepada tindakan besar-besaran Putrajaya di bawah Akta Hasutan.

“Putrajaya harus membezakan di antara kritikan dan hasutan. Mereka harus gembira kerana sekarang berlakunya persaingan idea.”

Saifuddin berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 dan 13 menunjukkan lebih ramai mengundi berdasarkan harapan baru mereka.

“Pengundi melihat kepada harapan demokratik, kebebasan dan keadilan. Mereka mahu undang-undang, perbelanjaan berhemat dan perang terhadap rasuah.

“Jika ini dilihat jahat atau negatif bagi Putrajaya, bagaimana sebenarnya masa depan Malaysia?” soal Saifuddin.

Beliau berhujah, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang harus dirayakan, dan adalah lebih baik seseorang itu bersuara daripada memilih jalan “bawah tanah”.

Saifuddin juga berharap pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari tidak akan didakwa atas hasutan walaupun polis sudah membuka kertas siasatan.

“Tidak begitu ramai peguam Perlembagaan di negara ini. Jika Aziz didakwa kerana menghasut, siapa pula yang tidak akan didakwa?”

Aziz akan disoal siasat polis hari ini berhubung laporan The Malaysian Insider mengenai komennya tentang kuasa sultan dan peranan mereka dalam politik.

Saifuddin berkata, kedua-dua Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom, yang didakwa kerana hasutan, cuma memberikan pandangan dari segi undang-undang mereka tentang kemelut menteri besar Selangor.

“Saya tidak melihat apa-apa masalah dengan kenyataan mereka. Mereka hanya memberikan pandangan dari segi undang-undang mengenai isu kepentingan umum.”

Mengenai dakwaan di bawah Akta Hasutan, Saifuddin berkata polis seharusnya mengimbas kembali kepada awal 1990an apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.

Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan dipinda membolehkan raja-raja Melayu didakwa di Mahkamah Khas kerana jenayah.

Apabila raja-raja Melayu memohon langkah tersebut dihentikan supaya mempunyai lebih waktu untuk menilainya, Umno melancarkan perang media besar-besaran dengan kritikan yang keras.

“Sesetengah kenyataan pemimpin Umno semasa roadshow pada 1993 sekurang-kurangnya sangat berapi. Apakah itu bukan hasutan?" soal Saifuddin.

– The Malaysian Insider, 1 Oktober, 2014.

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction