MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

Anak Tun Dr Ismail ceritakan saat G25 tolak pelawaan Dr Mahathir dan Muhyiddin

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah bertemu kumpulan moderat G25 dan cuba mendapatkan bantuan mereka dalam menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, demikian pendedahan seorang ahli kumpulan itu, Tawfik Ismail.

Bagaimanapun, Tawfik, yang merupakan anak timbalan perdana menteri Malaysia kedua Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata, G25 mengambil pendirian yang tidak memihak sesiapa dan enggan terlibat dalam perkara seperti itu.

Tawfik berkata, Muhyiddin memanggil G25 untuk satu mesyuarat pada September dan memberitahu rasa tidak puas hati beliau terhadap kepimpinan Najib dan bagaimana beliau berakhir di kedudukannya sekarang.

"Kemudian beliau bertanya kepada kami, bagaimana kami boleh membantu. Kami berkata, pertamanya, kami tidak fikir kami cenderung memihak kepada sesiapa dalam politik. Kami 'non-partisan' (tidak berpihak).

"Dan kami memberitahunya, kami merasakan beliau dan Dr Mahathir bukan orang yang tepat untuk melawan Najib. Beliau sedikit terperanjat, meminta saya menerangkan maksud saya.

 Beliau berkata, Muhyiddin diberitahu yang segala masalah sepatutnya ditangani golongan muda yang akan mewarisi negara ini, dan memberi contoh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan pemimpin DAP Liew Chin Tong.

"Mereka ini pemimpin muda masa depan yang mempunyai kepentingan yang lebih besar terhadap apa yang berlaku pada masa akan datang berbanding Dr Mahathir, Muhyiddin dan Najib," kata Tawfik.

G25 juga memberitahu Muhyiddin, dengan menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak akan dapat memainkan peranan mereka membawa mesej kesederhanaan di negara ini, kerana mereka akan terpaksa mengasingkan segmen tertentu, katanya.

"Itulah yang kami beritahu Muhyiddin. Kita perlu mempunyai hubungan dengan semua akar umbi kita dan kita tidak boleh melakukannya jika kita memihak sesiapa.

"Adalah lebih baik bagi kami membawa pemain semasa kembali ke tengah. Kerana, jika anda tidak boleh menyingkirkan mereka, mungkin anda boleh ubah mereka," kata Tawfik mengenai perbualan kumpulan itu dengan Muhyiddin.

Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan kabinet pada akhir Julai, selepas secara terbuka menyoal Najib berhubung dakwaan skandal kewangan melibatkan syarikat yang diilhamkannya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan wang RM2.6 bilion yang diterima perdana menteri dalam akaun bank peribadinya.

The Malaysian Insider menemuramah Tawfik sempena pelancaran buku "Drifting Into Politics", koleksi penulisan Dr Ismail sendiri, di mana Tawfik merupakan editor bersama dengan ahli akademik Ooi Kee Beng.

Ia juga sempena ulang tahun kelahiran ke-100 Dr Ismail pada 4 November.

G25 merupakan sekumpulan pesara kakitangan awam yang akhir tahun lalu menulis surat terbuka kepada kerajaan merayu kembali kepada kesederhanaan dan diadakan dialog rasional mengenai kedudukan dan penerapan Islam dalam undang-undang dan dasar negara.

Kumpulan itu kini menerima lebih ramai keahlian dan mengeluarkan banyak kenyataan mengenai isu lain melibatkan kaum dan agama, sambil menyeru kepada kesederhanaan.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam pertemuannya dengan G25 untuk membincangkan Islam dan perlembagaan awal tahun ini, cuba mengalihkan topik perbincangan kepada 1MDB dan mula menyerang kerajaan, kata Tawfik.

"Jadi, saya memberitahunya, kita di sini untuk bercakap tentang Islam, bukan tentang politik. Tetapi beliau terus mendesak.

"Kemudian saya katakan kepadanya, jika anda menyingkirkan Najib, siapa anda mahu menggantikan beliau? Dan apa yang membuatkan anda fikir orang ini akan lebih baik darinya (Najib)?

"Dia berkata, 'yalah, anda tahu, orang yang menggantikan beliau akan dibimbing oleh satu majlis yang terdiri daripada mereka yang lebih tua'," cerita Tawfik.

Bagaimanapun, Tawfik berkata, beliau tidak dapat menerima hujah itu, kerana katanya, tidak demokratik untuk mempunyai satu majlis yang anggotanya tidak dipilih, untuk memberi arahan kepada perdana Menteri.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga mengkritik Najib berhubung wang yang dikatakan dilesapkan oleh perdana menteri.

"Jadi, saya balas balik. Dari masa anda menjadi perdana menteri sehingga anda bersara, jika saya ambil semua kerugian anda dan menghitungnya berdasarkan nilai hari ini, saya yakin ia akan lebih banyak daripada jumlah yang dikatakan hilang dalam 1MDB.

"Kemudian, semua orang di sekeliling meja itu terkejut, kerana mereka tidak menjangkakan konfrontasi itu," kata Tawfik, sambil menambah mesyuarat itu berakhir di situ dengan hujah mereka itu.

Bekas ahli Parlimen Umno itu mengakui beliau tidak memandang tinggi Dr Mahathir dan menyalahkan bekas perdana menteri itu dan dasar beliau yang mengakibatkan Malaysia berada dalam keadaan sekarang.

Beliau berkata, Dr Mahathir membatalkan usaha yang dilakukan Dr Ismail dan pengasas Malaysia terdahulu dalam terus berpegang kepada kuasa.

Isu perkauman hanya bermula apabila Dr Mahathir menjadi semakin bimbang tentang "hak Melayu", dan mula menjadikan kaum lain sebagai kambing hitam dalam menyatukan orang Melayu, kata Tawfik.

Peningkatan "Islamisasi" Malaysia juga, jika disorot kembali, bermula dengan cubaan Dr Mahathir menangani pengaruh PAS, katanya.

Akhirnya, pemimpin selepas Dr Mahathir dianggap gagal di jalan yang beliau ukir sendiri, kata Tawfik.

"Najib mungkin anak Tun Razak, tetapi, dari segi politik, beliau anak kepada Mahathir," kata Tawfik.

– the malaysian insider

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction