MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

Amnesty International desak Putrajaya mansuh Akta Hasutan, gugur semua dakwaan

Amnesty International hari ini menggesa Putrajaya segera menghentikan penggunaan Akta Hasutan 1948 dan mengugurkan semua dakwaan terhadap mereka yang dikenakan tuduhan mengikut akta tersebut.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataannya hari ini berkata, wakil rakyat pembangkang, aktivis hak asasi manusia, peguam, ahli akademik dan wartawan menghadapi risiko ditahan sewenang-wenangnya.

"Penggunaan Akta Hasutan yang sudah lapuk itu kebelakangan ini semakin membimbangkan kita," katanya.

Katanya, Putrajaya perlu segera membebaskan pesalah atau tahanan Akta Hasutan tanpa syarat.

"Mereka cuma mengamalkan hak kebebasan bersuara, maka Putrajaya digesa mansuhkan akta itu juga," katanya.

Badan hak asasi manusi antarabangsa itu berkata, wujud kebimbangan apabila undang-undang zaman penjajahan British digunakan untuk menghukum penjenayah dengan tindakan yang tidak jelas.

Sejak Ogos lalu, sekurang-kurangnya 8 orang didakwa dan berdepan risiko penjara mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Mereka adalah pendakwah Wan Ji Wan Hussin, penyelia Chow Mun Fai, pelajar universiti Ali Abdul Jalil, ahli politik David Orok, ahli akademik Dr Azmi Sharom, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer.

Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 memperuntukkan kesalahan jenayah terhadap penggunaan ayat dan penerbitan berbaur hasutan.

Undang-undang mentafsirkan perlakuan atau kata-kata hasutan sebagai "kecenderungan untuk membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pemerintah atau kerajaan' atau 'mempersoalkan mana-mana perkara yang dilindungi Perlembagaan'.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Amnesty International berkata, akta itu tidak mematuhi standard dan undang-undang hak asasi manusi antarabangsa selain mencabuli hak kebebasan bersuara.

"Kebebasan bersuara dibenarkan dalam Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia (UDHR), serta dijamin Artikel 10 Perlembagaan Malaysia," katanya.

Dua orang disabitkan bersalah mengikut Akta Hasutan sejak 2013, iaitu bekas mahasiswa Muhammad Safwan Anang dan ahli politik P Uthayakumar.

Safwan dihukum penjara 10 bulan kerana mengeluarkan kenyataan hasutan di sebuah perhimpunan pada Mei 2013 dan kini sedang menunggu rayuan ikat jamin.

Uthayakumar pula masih menjalani hukuman penjara 24 bulan di penjara Kajang selepas didapati bersalah pada Jun 2013 kerana menerbitkan bahan berunsurkan 'hasutan' pada 2007.

Sehubungan itu, Amnesty International menyeru aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia menulis surat rayuan kepada Putrajaya supaya memansuhkan Akta Hasutan dan membebaskan mereka yang dipenjarakan.

– The Malaysian Insider, 18 September, 2014.

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction