MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Putrajaya

SPRM tahan 191 penjawat awam dari 414 suspek

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 414 individu atas pelbagai kesalahan pada tahun ini, dengan 191 orang atau 46 peratus daripadanya merupakan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Bahari Mohd Jamil berkata 13 daripada penjawat awam tersebut memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi, 44 daripada peringkat pengurusan dan profesional manakala 134 pula adalah kumpulan pelaksana.

"Kita mahu memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah yang memang fokusnya terhadap gejala rasuah dalam sektor awam.

"Dalam masa tiga tahun ini menjelang 2020, kita fokus kepada sektor awam dahulu, bagaimanapun ia tidak bermakna sektor lain diketepikan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di Putrajaya hari ini.

Pada majlis itu Shamshun Bahari mewakili SPRM turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kerjasama dalam khidmat nasihat dan rundingan serta perkongsian maklumat mengenai perlakuan jenayah rasuah.

Warga KPKT diketuai menterinya Tan Sri Noh Omar, turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab penjawat awam dalam melaksanaan tugas dan menghindari amalan rasuah dalam majlis itu.

Noh berkata langkah kementerian menyertai bacaan ikrar itu memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa KPKT berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya yang terlibat dalam perbuatan rasuah.

"Kita tidak mahu rasuah menjadi seperti budaya dalam negara kita kerana ia akan meranapkan negara, bukan sahaja rakyat tempatan hilang kepercayaan kepada kerajaan malah pelabur luar juga tidak akan datang ke negara kita," katanya.

KPKT adalah kementerian ke-11 yang melafazkan ikrar tersebut.

- bernama

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Masjid Putra Show Direction
Dataran Putra Show Direction
Shopping
Name Distance Direction
Pasar Presint 8 Show Direction